Sesebuah perkahwinan itu akan bahagia jika pasangan anda yakin dengan kesetiaan dan komitmen anda. Antara cara bagi menunjukkan komitmen anda ialah dengan menerima pasangan anda seadanya, sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan pasangan, saling membantu, prihatin, jujur dalam perhubungan dan menunjukkan sikap penyayang pada pasangan anda.
Komunikasi adalah nadi dalam setiap perhubungan. Anda harus sentiasa berkomunikasi bagi mewujudkan perhubungan yang sihat. Ini bermakna anda harus mempercayai pasangan anda dan mengelak daripada mewujudkan halangan komunikasi seperti memperbetul atau menyangkal kata-katanya, menyampuk, terburu-buru membuat keputusan, cuba membuat andaian apa yang difikirkannya, menempelak pasangan anda dengan kata-katanya sendiri, tidak memberi perhatian dan gemar menyindir.
Konflik tidak semestinya buruk. Ia boleh menjadi positif apabila dapat mendedahkan ketidakadilan, membawa perubahan yang diperlukan dan sumber kekuatan diri, transformasi sosial dan perdamaian. Dalam erti kata lain, konflik juga boleh mencetuskan rasa iri hati dan mengasingkan diri serta dikaitkan dengan keganasan seperti serangan fizikal. Konflik perlu diuruskan dengan sebaiknya, jika tidak ia akan dipendam lalu berubah menjadi rasa sakit hati, permusuhan, kenangan pahit dan dendam.
Bersikap kreatif dalam perhubungan supaya ia menjadi lebih seronok, mengeratkan kasih sayang dan menjauhkan kebosanan. Elak daripada mengekalkan rutin dalam perkahwinan.
Setiap pasangan perlu memberi sumbangan dalam mengukuhkan perhubungan. Sentiasalah mengambil berat, mempamerkan kasih sayang serta membantu pasangan anda dalam menyelesaikan sesuatu tanggungjawab bersama.
Segalanya akan berubah dalam perkahwinan. Anda bukan lagi seperti diri anda 5 atau 10 tahun dahulu begitu juga pasangan anda.
Bersedialah menghadapi perubahan yang akan berlaku seperti tahap perubahan ketika anak sedang membesar. Bacalah buku dan berusaha mencari ketenangan dalam perkahwinan. Dapatkan bantuan pakar dalam membuat persediaan menghadapi perubahan yang bakal mendatang
Penglibatan dalam aktiviti luar atau aktiviti kemasyarakatan adalah penting kerana anda juga memerlukan sokongan orang lain terhadap perkara-perkara yang tidak dapat dilakukan oleh pasangan anda.
Salah satu langkah penting yang boleh dilakukan bagi mempertahankan perkahwinan ialah dengan menjauhi segala perkara yang ditegah oleh agama dalam kehidupan berkeluarga. Setiap agama, tidak kira Islam, Buddha, Hindu, Kristian atau agama lain mempunyai nilai-nilai positif yang dapat dijadikan pegangan dalam mewujudkan rumahtangga yang bahagia.